Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” bagi tahun 2022.

Program ini merupakan siri persembahan yang menampilkan keunikan dan kepelbagaian dalam kesenian dan kebudayaan Malaysia, yang dilaksanakan secara berkala oleh Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) dari seluruh negeri.

Ini merupakan tahun ketiga penganjuran program ini. Pada tahun 2021, pelaksanaannya diadakan secara dalam talian kerana pandemik covid-19.

Penganjurannya kali ini adalah untuk mempamerkan kebudayaan negara melalui acara yang dipersembahkan dalam usaha untuk memelihara seni budaya dan secara langsung mempromosikannya kepada masyarakat Malaysia dan pelancong luar negara.

“Saya berharap agar orang ramai dapat memanfaatkan peluang ini untuk hadir dan menyokong JKKN dalam usaha untuk menyemarakkan industri seni budaya negara agar terus kekal dan terpelihara,” ujar Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Tahun ini, penganjurannya diadakan secara fizikal yang akan dipersembahkan oleh Artis Budaya Kumpulan Kesenian JKKN. Terdapat lima siri persembahan yang menampilkan persembahan asli dan autentik Malaysia dengan gabungan tarian dan muzik yang merangkumi kaum Cina, India, etnik Sabah dan Sarawak, etnik minoriti di Malaysia serta persembahan kreasi baharu mengikut tema dan konsep.

Lima siri persembahan ini akan bermula dari 28 Mei 2022 bertempat di Dataran Foodcourt, Presint 14 Putrajaya.  Siri kedua dengan judul ‘Akul Zapin Turasi’ akan berlangsung pada 29 Julai di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Siri ketiga berjudul ‘Nostalgia 90an’ pada 30 September bertempat di La Park Jalan Conlay, Pavillion Kuala Lumpur manakala siri keempat bertajuk ‘Warna’ pada 29 Oktober di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Siri kelima iaitu yang terakhir bertajuk ‘Koleksi Inspitari’ akan berlangsung pada  5 November bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Lokasi yang dipilih berdasarkan tempat tumpuan orang ramai dan pelancong terutama di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Selain persembahan daripada Kumpulan Kesenian JKKN, juga ada penampilan khas penyanyi Hazama dan Azizzul Haqim (Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008).

Dalam menjayakan siri program ini, JKKN turut bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Usahawan Food Truck WPKL, Persatuan Usahawan Food Truck La Park Jalan Colay, Pavillion Kuala Lumpur dan Persatuan Usahawan Food Truck Presint 14, Putrajaya. 

 

https://utusantv.com/2022/06/01/motac-anjur-program-citra-malaysia-colours-of-malaysia/